Kutelahi lakaran tuturmu
yang terpapar di kanvas sopan
adalah siraman air rindu
yang mengalir ke muara...
Sayang...
Kutahu di sebalik pelangi hatimu,
Terlakar potret cinta,
Yang kau sembunyikan di celah-celah kelopak ragu,
Yang masih membeku dan padu..
Ku menanti mentari jujurmu,
Memancarkan cahaya kasih,
Setelah kulabuhkan ceritera cinta..
Laila Majnun dan Shah Jehan masih setia,
Tapi bibirmu masih dibelenggu malu..
Usah lagi kau melipat helah,
Kerana aku dapat membaca hatimu,
Yang sarat perlu dan mahu,
Untuk ku takhtai satu persatu..
Ku pasti manik-manik iman,
Yang tertanam di sanubari,
Akan mengkalungkan sebuah takdir,
Yang akan merungkai segala kusutan,
Yang melanda dihatimu..
"Kenapa ni, monyok aje ni, sakit ke?" Nurul yang baru balik dari tutorial bertanya kepada teman sebiliknya.
"Nurul, sampai hati Zack buat begini pada aku", Ain menangis teresak-esak.
"Kenapa?" Nurul bertanya kembali, agak panik dengan Ain yang semakin kuat esakannya.
"Kami, kami, kami dah putus", raung Ain.
Episod di atas mungkin sesuatu yang amat biasa kita temui. Bercinta dan merana, kecewa dan dalam sesetengah kes "frust menonggeng" hingga hilang arah tujuan. Malah di Malaysia sendiri, ruang hiburan dikuasai oleh lagu-lagu cinta remaja. Namun, apa yang ingin disentuh di sini bukanlah kisah cinta Uda dan Dara, Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun.
Perlu diketahui bahawa cinta adalah salah satu daripada kurniaan Allah kepada manusia. Ruang lingkup cinta terlalu luas sebenarnya namun manusia yang sering mengecilkannya. Cinta makhluk kepada Yang Maha Esa adalah cinta yang paling agung diantara segala cinta. Kerana itulah para Syuhada' menentang musuh dengan penuh keberanian tanpa bimbang terkorban dalam perjuangan.
Cinta Rasullah SAW kepada umatnya dapat dilihat dengan jelas sewaktu peristiwa baginda dibaling dengan batu oleh orang-orang Taif. Sewaktu malaikat Jibrail bertanya kepada baginda apakah baginda ingin Allah menurunkan bala kepada penduduk Taif, baginda menyatakan bahawa mereka belum mengenal kebenaran malah baginda mendoakan agar hati mereka terbuka untuk menerima syiar Islam.Begitu juga cinta para sahabat yang dalam kepada Rasulullah SAW hinggakan sanggup berada di samping Rasulullah walaupun nyawa mereka terancam.
Dalam hubungan manusia sesama manusia, cinta memainkan peranan yang penting. Cinta seorang ibu kepada anaknya membawa ke syurga dan cinta seorang ayah sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan anak dan isteri.
Cinta diantara suami dan isteri pula jelas tergambar dalam Surah Ar Rum ayat 21 yang maksudnya:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya. Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Namun dewasa ini, yang sering terjadi ialah hubungan cinta teruna dan Dara di luar lingkungan perkahwinan. Justeru itu, apa yang terjadi adalah sesuatu yang mengaibkan, kes buang anak yang begitu heboh diperkatakan di Malaysia umpamanya adalah contoh cinta terlarang yang melanggar hukum Allah yang ditetapkan. Dalam menuju kedewasaan, minat-meminati di kalangan berlawanan jenis adalah sesuatu yang lumrah. Namun, perasaan ini haruslah dijaga...
"You must be the master of your feelings, don't let your feelings be the master of you"...
Agak menyedihkan kerana ramai yang terbawa-bawa dengan perasaan cinta ini hingga sanggup berkorban segala-galanya untuk orang yang dicintai padahal si dia belum lagi menjadi suami yang sah.
Bak kata orang tua-tua:
Nasi lemak buah bidara, Sayang selasih kulurutkan,Buang emak, buang saudara, kerana kekasih kuturutkan...
.....Zulaikha cuba menggoda Nabi Yusuf dan menarik baju yang dipakainya.....Di sini, ingin saya buka lipatan sejarah, menyingkap kisah cinta yang tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan. Kisah cinta Nabi Allah Yusuf (Alaihissalam-AS) dan Zulaikha. Mungkin ramai di antara kita yang mengetahui kisah kekacakan Nabi Yusuf (AS) sehinggakan Zulaikha, ibu angkatnya sendiri jatuh cinta padanya.Nabi Yusuf (AS) disumbatkan ke dalam penjara setelah Al Aziz, pembesar Mesir pada masa itu yang juga merupakan suami Zulaikha tidak tahu apa yang patut dilakukannya setelah peristiwa Zulaikha cuba menggoda Nabi Yusuf (AS) dan menarik baju yang dipakainya hingga terkoyak di belakang. Namun dengan izin Allah, seorang bayi yang kebetulan ada di situ berkata-kata dan membersihkan nama Nabi Yusuf (AS) yang suci.
Selepas peristiwa itu, Zulaikha menjadi gila kerana tidak dapat menahan rasa cintanya pada Nabi Yusuf (AS) hingga Al Aziz terpaksa melepaskannya.Setelah 12 tahun berlalu, Nabi Yusuf (AS) dibebaskan dari penjara dan akhirnya beliau diangkat menjadi raja. Hinggalah pada suatu hari, sewaktu Nabi Yusuf (AS) berjalan-jalan di pasar, beliau terjumpa seorang perempuan tua yang gila dan asyik menyebut-nyebut namanya. Rupa-rupanya, perempuan itu ialah Zulaikha. Dengan izin Allah, Zulaikha menjadi muda kembali hasil mukjizat Nabi Yusuf (AS), dan mereka berkahwin.
"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu serta telah Aku redha Islam sebagai agama kamu."(surah Al-Maida: 3)
Setelah peristiwa itu, Zulaikha menemui cinta yang lebih abadi, Zulaikha kini benar-benar bersyukur kerana Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberikan peluang kedua padanya. Cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf (AS) telah luput, digantikan dengan cinta makhluk terhadap Pencipta-Nya. Masanya dihabiskan dengan bermunajat kepada Allah hingga beliau tidak mempedulikan Nabi Yusuf (AS) sendiri yang suatu waktu dulu digilainya.
Mengikut ceritanya, Nabi Yusuf (AS) telah menarik baju Zulaikha yang asyik beribadat. Peristiwa ini bolehlah diumpamakan sebagai qisas kerana dahulu Zulaikha telah menarik baju Nabi Yusuf (AS). Yusuf kemudian memberitahu Zulaikha bahawa dari mereka akan lahir nabi-nabi yang akan membawa kebenaran.Melihat pada peristiwa ini, nyatalah cinta sesama makhluk tidak akan kekal, apatah lagi kalau cinta itu dilandaskan kepada nafsu semata-mata.
Cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal terabdi bersama berdiri megahnya Taj Mahal, namun sedarkah kita bahawa pembinaan Taj Mahal telah menyebabkan tangan pengukir-pengukir yang handal dipotong semata-mata kerana Shah Jehan tidak mahu ada bangunan lain di dunia ini yang dapat menandingi kecantikan Taj Mahal!!
Kita haruslah sedar bahawa cinta sesama makhluk hanyalah sementara, oleh itu adalah lebih baik sekiranya kita tak terbawa-bawa oleh arus cinta, bermain dengan ombak perasaan dan akhirnya karam sendiri bila cinta yang diharap-harapkan tidak kesampaian.....
Sewaktu Boy dan Girl di awal alam percintaan, Boy melipat 1000 burung kertas buat Girl dan menggantungkannya di dalam bilik Girl. Boy mengatakan, 1000 burung kertas itu menandakan 1000 ketulusan hatinya.Girl dan Boy berasakan setiap detik percintaan mereka begitu indah sekali.
Tetapi entah kenapa, di suatu hari, Girl mulai menjauhi Boy. Girl memutuskan untuk berkahwin dengan seorang lelaki kaya dan berhijrah ke Perancis serta menetap di kota Paris tempat impiannnya selama ini.Sewaktu Girl mahu memutuskan hubungannya dengan Boy, Girl memberitahu Boy, “Kita harus melihat dunia ini dari sudut yang matang. Perkahwinan bagi wanita adalah kehidupan kedua kalinya! Aku harus memegang kesempatan ini dengan baik. Kamu terlalu miskin, aku tidak sanggup membayangkan bagaimana kehidupan kita setelah berkahwin !”
Setelah Girl pergi ke Perancis, Boy bekerja keras bagi membuktikan dia juga boleh berjaya. Boy melakukan banyak kerja. Dia pernah menjual buku, menjadi karyawan sementara dan berniaga kecil-kecilan. Setiap pekerjaannya dilakukan dengan tekun dan hati yang cekal.Selang beberapa tahun…Berkat usahanya tanpa henti dan dorongan teman-teman, akhirnya Boy berjaya memiliki sebuah syarikat berjaya. Dia sudah menjadi seorang lelaki yang kaya, tetapi hatinya masih teringat-ingat pada Girl. Boy masih tidak dapat melupakan gadis yang pernah bertapak di hatinya.
Di suatu hari, waktu hujan turun, Boy dari keretanya melihat sepasang suami isteri tua berjalan perlahan di hadapannya. Dia amat mengenali mereka. Mereka adalah orang tua Girl !Hati Boy berdetik. Dia ingin mereka lihat bahawa dia sekarang tidak hanya mempunyai kereta sendiri, tetapi juga mempunyai sebuah villa indah dan syarikat sendiri. Boy ingin mereka tahu bahawa dia bukan seorang yang miskin lagi tetapi kini adalah seorang majikan kaya. Boy memandu keretanya perlahan sambil mengikuti kedua orang tua tersebut.
Hujan terus turun, tanpa henti, biarpun kedua org tua itu memakai payung, tetapi badan mereka tetap basah kerana hujan.Sewaktu mereka sampai ke destinasi, Boy tercengang melihat apa yang ada di depan matanya. Ia adalah sebuah tanah perkuburan. Boy mengikuti orang tua Girl. Mereka berdiri di hadapan sebuah kubur. Boy melihat tulisan di atas batu nisan terpahat nama Girl yang dirinduinya.Di samping kuburnya yang kecil, tergantung burung-burung kertas yang pernah dibuatkan Boy, dalam hujan burung-burung kertas itu kelihatan begitu hidup.Orang tua Girl memandang Boy lalu memberitahu,
“Girl tidak pergi ke Paris, Girl diserang barah. Girl telah pergi ke syurga. Girl ingin Boy menjadi seorang yang berjaya dan mempunyai keluarga yang harmoni. Maka Girl terpaksa berbohong kepada Boy dahulu. Girl ada menyatakan yang dia sangat menyintai Boy, dia percaya kalau Boy berusaha, pasti akan berjaya. Girl turut mengatakan, jika suatu hari nanti Boy datang ke kuburnya, dia amat berharap supaya Boy membawakan beberapa burung kertas buatnya lagi. “Boy lalu berlutut, berlutut di depan kubur Girl, menangis semahu-mahunya dengan begitu sedih sekali.Hujan pada hari itu terasa tidak akan berhenti, membasahi sekujur tubuh Boy. Boy teringat senyuman Girl yang begitu manis dan tulus. Mengingati semua itu, hatinya mula menitiskan darah.Sewaktu orang tua Girl melangkah pulang dari tanah perkuburan, mereka melihat Boy sudah membukakan pintu keretanya untuk mereka. Lagu sedih kedengaran dari dalam kereta tersebut.
“Hatiku tidak pernah menyesal, Semuanya hanya untukmu 1000 burung kertas,1000 ketulusan hatiku,Berterbangan di dalam anginMenginginkan bintang yang lebat bertebaran di langit,Melewati sungai perak,Apakah aku dapat bertemu denganmu kembali?Aku tidak takut berapa pun jauhnya,Hanya aku ingin sekarang terus berlari kepadamuMasa lalu seperti asap, hilang dan tak kan kembali,Menambah kerinduan di hatiku.Bagaimanapun dicari,Jodoh kehidupan ini pasti tidak akan berubah”.