"Hello !"
"Hello !
Assalamualaikum. Siapa di sana tu ?"
"Aku..."
"Yalah, aku 'tu siapa ?"
"Akulah.
Takkan dah lupa."
"Rizal ?"
"Bukan."
"Aiman, ya ?"
"Bukan."
"Habis, siapa ?
Haikal ?"
"Amboi, ramainya teman lelaki. Takkan dah lupa, di KL minggu lepas."
"Iman Helmi ?... ah, Iman. Buat suspen saja. Mengapa baru sekarang hubungi aku ?"
"Sibuk dengan kuliah dan tutorial."
"Apa ?" "Nantilah, aku ceritakan bila kita bertemu nanti. Semalam aku cuba hubungi kau, tapi tak dapat. Engage."
"Mengapa baru semalam ?" "Baru semalam terasa rindu." Jawab ku dengan nada bergurau, walaupun hati ku sendiri mengakui kebenarannya.
"Ah, kau ni. Cakap tak pernah serius."
"Takkan nak merajuk lagi. Kita jumpa hari minggu ni, ya ? Aku belanja kau makan. Eh, engkau sepatutnya belanja aku."
"Macamana ni ? Aku dah buat janji. Tak mengapalah, aku batalkan janji ku. Tapi kau belanja aku, ok ?" "Ok. Kita jumpa di tempat dulu. Pagi minggu.
Bye."
"Bye..."
Dua hari lamanya sebelum pertemuan yang dijanjikan itu. Terasa amat lama. Tapi kesibukan kuliah dan persediaan-persediaan bagi menghadapi peperiksaan semester pertama melupakannya seketika dari ingatan ku...
Malam minggu itu hati ku menjadi bernar-benar tidak tenteram. Terlalu banyak yang ku fikirkan tentang dirinya, Dia telah banyak berubah walaupun sikapnya masih seperti dulu. Kenakalannya dan sifat keanak-anakannya bila berbicara dengan ku masih ketara. Tujuh tahun bukanlah suatu waktu yang singkat. Kemunculannya secara tiba-tiba dalam hidupku sungguh di luar jangkaan ku...
Rupanya aku terlalu awal tiba di tempat yang dijanjikan. Hampir satu jam aku menantinya. Dan tanpa ku sedari dia menegur di belakang ku.
"Dah lama tunggu. Berpeluh-peluh. Dah berapa lama kau berdiri di sini ?" Sambil mengeluarkan tisu dari tas tangan dan menghulurkan kepada ku. "Tak lama. " Kata ku sedangkan hati ku mengeluh sendirian.
"Maafkan aku kerana terlambat."
"Kau dah banyak berubah. Hari itu lain. Sekarang ni dah lain pula." Kata ku memerhatikan perubahan dirinya.
"Maksud kau, penampilanku ? itu kan perkara biasa...
Ke mana kita?"Manalah aku tahu. Aku tak biasa di sini. Kau saja yang tunjukkan jalan."
"Mana boleh. Kau yang ajak aku keluar." Dia menoleh pada ku. Mungkin dia menyedari perubahan di wajah ku. Lalu dia terus menyambung,
"Baiklah. Kita minum dulu. Lepas ni kita menonton... atau kita ke taman astakona kita...Aku dah lama tak ke situ...
Tidak seperti yang ku harapkan dari pertemuan itu. Terlalu sukar bagi ku berbual seperti biasa. Aku agak gugup. Mungkin disebabkan perpisahan yang lama itu. Atau barangkali disebabkan kedewasaan yang datang ini. Tapi dia seolah-olah seperti biasa saja, seperti tidak pernah berpisah dengan ku, seperti tujuh tahun dulu. Seharian aku cuba menyungkil rahsianya. Tetapi nampaknya aku yang lebih banyak bercerita tentang diri ku sehinggalah ke saat akhir pertemuan itu.
"Aku tak sangka kau akan berjaya ke universiti."
"Aku pun tak sangka kita boleh bertemu di sini, Iza...
"Bukan kita yang menentukan."
"Aku tahu."
"Kau tak mahu ke rumah ku, Iman?"
"Nantilah. Esok ada kuliah. Malam ini aku mesti siapkan esei aku. Hari pun dah lewat petang." "Bila pula kau hendak ke rumah ku ?"
"Cuti nanti." "Kita jumpa lagi, nanti ?"
"Tak ada peluang kecuali lepas peperiksaan akhir semester pertama ini."
"Baiklah. Aku pulang dulu."
"Hati-hati di jalanan."
"Kau juga."
Satu-satunya yang masih dapat ku rasakan ialah perhatiannya terhadap ku tidak pernah berubah walaupun aku sedikit ragu. Perhatian itu menjadikan aku lebih terikat padanya.Hari-hari yang ku lalui menjadi lebih bermakna. Aku mula menyedari bahawa diri ku tidak lagi sendirian di dunia ini...

0 ulasan:

Catat Ulasan